Tidak dinafikan, jika ada pasangan suami isteri yang bergaduh mereka pasti mahu berdamai. Kalau boleh mahu pergaduhan itu berakhir dengan cepat dan perdamaian bersifat kekal. Tetapi keadaan sebaliknya kerana ia hanya bersifat sementara dan akan bergaduh lagi keesokan harinya.
Jangan biarlah perasaan ego melanda diri. Sebenarnya anda dan pasangan perlu tahu cara berdamai yang sebenar agar ia tidak terus berlanjutan. Bak kata pepatah buang yang keruh ambil yang jernih. Tidak salah rendahkan ego dan meminta maaf dengan pasangan. Anda perlu tahu cara tertentu yang boleh membuatkan perdamaian itu kekal lama.
1. Jangan merajuk
Walaupun anda marah dengan pasangan jangan sesekali merajuk dalam jangka masa yang lama. Mungkin hanya merajuk pada hari pertengkaran berlaku dan perlu cepat-cepat menyelesaikan apa yang berlaku. Pastinya mereka beranggapan kalau merajuk nanti akan ada orang yang datang memujuk. Namun hakikatnya tidak. ini kerana, orang lelaki jarang mahu memujuk pasangan mereka yang sedang merajuk. Bukan sahaja disebabkan rasa ego yang tinggi tetapi kebanyakan lelaki tidak suka dihukum oleh isterinya sendiri.
2. Jangan menghukum
Apabila timbul konflik, anda juga diingatkan supaya jangan menghukum pasangan masing-masing dengan cara tersendiri. Jika isteri yang menghukum suami tidak ada kesan kerana jarang dipedulikan oleh mereka. Tetapi jika suami menghukum isteri pasti akan memberi kesan psikologi. Kebiasaannya cara mereka menghukum ialah dengan tidak mempedulikan isteri walaupun berada dalam rumah. Dan ia akan meninggalkan rasa tidak puas hati anda sebagai isteri. Oleh itu dinasihatkan jangan menghukum apabila timbul konflik sebaliknya selesaikan cara baik dengan segera. Walau apa bentuk hukuman sekalipun, sama ada ia kecil ataupun besar, hukuman hanya menyukarkan proses perdamaian. Jadi, kalau benar masih ada niat mahu berdamai, jangan menghukum.
3. Jangan sesekali berbohong
Jika kedua-duanya sudah mengambil keputusan untuk berdamai jangan sesekali anda mengingkarinya. Janganlah sekadar mulut mengatakan mahu berdamai sedangkan hati tidak. Jangan pura-pra tarik harga ataupun bersikap jual mahal. Jika pasangan tahu anda bersikap begitu, dia mengandaikan anda tidak serius untuk berdamai dan kebarangkalian konflik akan terus berpanjangan dan melupakan usaha untuk berdamai semula.
4. Jangan mencari salah
Satu lagi diingatkan agar jangan suka mencari salah orang. Walaupun memang tahu kesalahan itu datangnya daripada pasangan tetapi kita perlu cermin diri. Adakah kita sendiri tidak pernah berbuat kesilapan. Oleh sebab itu, lihat kesalahan itu dan cuba perbaikinya agar tidak berulang. Mencari salah tidak akan membawa kepada penyelesaian sebaliknya akan terus merumitkan keadaan.
5. Berhentikan bahasa negatif
Jangan sesekali menyulitkan proses perdamaian dengan mengeluarkan kata-kata cacian yang boleh menyentuh hati pasangan. Walaupun sedang marah tetapi cuba kawal ;perasaan itu. Jika betul-betul mahu berdamai, gunakan bahasa lembut yang lebih bersifat penghargaan, pujian dan sebagai untuk memujuk hati yang sedang marah. Pastinya pasangan akan sejuk hati dan bersedia untuk berdamai.
6. Jangan mengungkit
Satu lagi diingatkan agar jangan mengungkit satu sama lain. Perkara yang dilepas jangan dikenang kerana boleh membuatkan hati anda terasa sakit. Berceritalah mengenai hari ini dan hari-hari mendatang. Ceritakan sesuatu yang boleh menggembirakan pasangan seperti merancang untuk bercuti atau bercerita mahu membelikannya hadiah.
7. Mulakan proses berdamai
Ini lagi satu masalah yang membelenggu mereka yang sedang berkonflik. Masing-masing tidak tahu cara untuk memulakan proses berdamai. Ini kerana bimbang jika ia tidak dilayan oleh pasangan atau diperlakukan begitu sahaja. Jika benar mahu berdamai, kuatkan hati dan mengambil langkah bijak memulakan proses berdamai. Biarlah anda mengalah dahulu demi kesejahteraan bersama.
8. Kenal pasti punca masalah
Anda juga perlu mengenal pasti punca yang menyebabkan kedua-duanya berkonflik. Jika sudah kenal pasti cuba cari jalan penyelesaiannya dan tidak melakukannya pada masa akan datang. Setiap orang ada salah masing-masing dan cuba perbaikinya agar tidak berlaku kesilapan serupa.
0 Komentar untuk "Cara Mudah Pasangan Berdamai"