PiNg SaMa DiA

Blog Isu Semasa

Proton Wira SE 1.5 Manual – Pilihan Terbaik Kereta Terpakai Untuk Keluarga


Ramai di kalangan kita semua tidak mampu membeli sebuah kereta baru dengan harga yang tinggi, apatah lagi kemudiannya terpaksa pula menanggung hutang selama 9 tahun. Kadang-kala ada cara yang lebih bijak untuk memiliki sebuah kereta yang sesuai untuk kegunaan individu mahupun sebuah keluarga. Antaranya sebuah kereta sedan terpakai yang bukan saja mempunyai ruang penumpang yang luas, malahan ruang bonet yang mencukupi untuk simpanan barang-barang.
Namun untuk mencari sebuah kereta terpakai yang sesuai dengan harga yang berpatutan adakalanya memeningkan kepala. Jika tersilap pilihan, harga yang dibayar tidak sepadan dengan apa yang kita dapat, dan lebih malang lagi jika usia kereta yang terlalu lama bakal membuatkan poket kita sentiasa kering. Mimpi ngeri apabila memiliki sebuah kereta terpakai ialah apabila ianya sering rosak, kesudahannya wang yang lebur untuk membaiki kereta tersebut mungkin sudah mampu untuk kita memiliki sebuah kereta baru.
Di sini saya cuba kongsikan pandangan saya jika anda berhajat untuk berjimat, enggan membazirkan wang untuk membeli sebuah kereta baru, sebaliknya cukup dengan sebuah kereta terpakai. Namun sudah tentu anda mahukan sebuah kereta terpakai yang harganya boleh dikatakan murah dan berada di bawah paras RM30,000.00. Usia kereta tersebut pula boleh dikatakan masih baru, iaitu kurang dari 10 tahun, bermakna keadaannya masih elok dari segenap sudut, terutamanya di bahagian enjin. Dan yang paling penting ianya adalah sebuah kereta yang sesuai untuk pemanduan harian seorang diri atau ketika bersama keluarga dan mampu membawa barang-barang dengan ruang bagasi yang mencukupi.
Kereta tersebut pula mempunyai tahap pengendalian dan pemanduan yang cemerlang dan selesa, termasuk keselesaan untuk penumpang yang berada di dalam, terutamanya sewaktu menempuh perjalanan jauh. Selain itu anda sudah tentu mahukan kereta tersebut merupakan sebuah kereta yang mempunyai alat ganti yang mudah didapati, dan yang paling penting ialah harganya yang murah. Kos pembaikan dan servis yang rendah adalah paling penting supaya anda dapat terus berjimat. Dan tidak sepatutnya dilupakan ialah reka bentuk dan rupa yang masih lagi menawan.
Jika itu semua adalah ciri-ciri yang anda idamkan, saya syorkan anda membeli sebuah Proton Wira SE 1.5 Manual terpakai. Dikeluarkan oleh Proton mulai tahun 2004, Proton Wira SE pada asalnya merupakan sebuah Proton Wira Aeroback dengan enjin berkapasiti 1.5 liter. Varian pertama bagi model tersebut menerima modifikasi ringan dari Proton seperti brek cakera di belakang, sistem ekzos sport yang dikatakan mampu meningkatkan kuasa enjin sehingga 8 peratus, reka bentuk bahagian dalaman yang lebih sporty dan spoiler belakang yang diperbuat dari aluminim. Jika tidak silap varian tersebut hanya dihasilkan sebanyak 10,000 unit sahaja, jika fakta tersebut salah harap boleh diperbetulkan.



Untuk varian selepas itu, tiada lagi cakera brek belakang dan spoiler aluminium. Proton Wira SE hadir dengan reka bentuk menawan apabila dipasangkan kit badan penuh meliputi bumper depan dan belakang termasuk skirting tepi. Selain itu saiz rim 16 inci dengan tayar bersaiz 205/45 amat sesuai sekali dengan profailnya yang sporty dan begaya. Dengan transmisi manual lima kelajuan, tahap penggunaan minyaknya masih lagi jimat berbanding varian yang mempunyai transmisi automatik.
Memandangkan Proton Wira SE telah diberhentikan pengeluarannya oleh Proton sejak tahun 2007 yang lalu bagi memberi ruang kepada Proton Persona, kebanyakan model ini mudah didapati di mana-mana kedai menjual kereta terpakai. Jadi anda mempunyai banyak pilihan dengan warna yang popular ialah merah dan hitam. Rasanya dengan usia kurang daripada 7 tahun, rata-rata Proton Wira SE terpakai masih berada dalam keadaan yang baik dengan perbatuan @ jarak perjalanan yang rendah.
Terpulang kepada anda untuk memilih antara keluaran tahun 2004, 2005, 2006 atau 2007, yang nyata harga yang paling murah sudah tentu dari model keluaran tahun 2004 dan 2005, manakala keluaran tahun 2006 atau 2007 sedikit tinggi. Namun secara perbandingannya, harga bagi sebuah Proton Wira SE 1.5 manual terpakai keluaran tahun 2004 sehingga 2007 kini berada dalam lingkungan antara RM18,000.00 sehingga RM30,000.00. Harga tersebut bergantung kepada beberapa faktor tertentu, dan untuk mendapatkan harga yang paling murah anda patut membelinya secara terus daripada pemiliknya berbanding membelinya di kedai menjual kenderaan terpakai.
Pendapat saya, Proton Wira SE 1.5 manual amat berbaloi untuk dimiliki. Antara faktor-faktor tarikan utamanya ialah usianya yang masih lagi baru iaitu kurang daripada 7 tahun. Sudah tentu apabila usianya masih baru, risiko kerosakan pada bahagian luaran badan, bahagian dalaman sehingga ke bahagian paling penting iaitu enjin berada pada tahap minimum. Anda sebenarnya hanya mempunyai risiko yang rendah jika membelinya, tambahan pula kebanyakan model terpakai kereta tersebut berada dalam keadaan standard, jarang-jarang anda akan menjumpai sebuah model yang diubahsuai dengan berlebih-lebihan oleh pemilik lama.
Harganya pula kini benar-benar murah, sedangkan anda sudah mendapat sebuah kereta sedan aeroback yang cukup selesa dan luas untuk kegunaan seisi keluarga. Jika anda memikirkan rupa bentuknya, sudah tentu Wira SE dengan bodykit penuh yang menghiasi luarannya diakui sebagai antara kereta yang berpenampilan menarik dan bergaya. Rim 16 inci dengan tayar ‘nipis’ dan solekan dalaman yang sporty dari Proton hanya menyerlahkan lagi kecantikan rupanya.
Sebenarnya banyak lagi kelebihan sebuah Proton Wira SE 1.5 manual, namun rasanya apa yang saya kongsikan di sini kali ini sudah mampu memberikan anda sedikit maklumat berguna sebelum anda membuat pilihan seterusnya. Jika anda masih ragu-ragu, anda boleh melayari laman web Mudah.my dan majalah permotoran seperti Motor Trader dan On The Road untuk mendapatkan gambaran lebih jelas tentang harganya, atau berkunjung ke mana-mana kedai menjual kereta terpakai. Antara pelbagai pilihan yang ada, saya berani katakan Proton Wira SE 1.5 manual merupakan pilihan yang sukar dilepaskan berbanding model lain di pasaran terpakai ketika ini.
1 Komentar untuk "Proton Wira SE 1.5 Manual – Pilihan Terbaik Kereta Terpakai Untuk Keluarga"

betul bro, aku beli first pati hujung 2003,masih pakai 2019. Pemandua hebat.spare senang,enjin buatan mitsubishi

 
Copyright © 2014 PiNg SaMa DiA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info