PiNg SaMa DiA

Blog Isu Semasa

Dirogol kekasih kerana cinta !!


SEBAIK bertemu gadis berusia 20 tahun ini di sebuah tempat pelancongan di luar negara dan setelah memperkenalkan diri masing-masing yang berasal dari Malaysia, dia mula berbicara dengan galaknya.
Gadis anggun dengan calitan mekap nipis di wajah mengungkapkan kata, dia mengambil peluang untuk beristirehat di kawasan itu untuk mencari ketenangan dan lari daripada insan yang disayanginya.
Kata Rani (bukan nama sebenar) kasihnya yang terlalu mendalam terhadap seorang lelaki berusia 25 tahun telah menjadikan dirinya mangsa dalam tempoh setahun perkenalan.
''Saya amat menyayanginya kerana saya rasa inilah baru pertama kalinya saya rasa amat dihargai. Saya diperkenalkan dengan ibunya, balik dan pergi kerja dijemput. Ibunya juga sangat mesra dengan saya. Saya tidur di rumahnya dan segala-galanya disediakan untuk saya," kata Rani.
Beberapa bulan berkenalan kata gadis itu, kasih dan sayang Hisham (bukan nama sebenar) terhadapnya semakin menekan.
Dek cemburunya yang keterlaluan, Rani tidak boleh lagi pergi ke mana-mana tanpa pengetahuan Hisham. Lama-kelamaan kehidupan Rani jadi seperti kerbau dicucuk hidung. Gerak-gerinya diperhatikan, apa sahaja yang dilakukan perlu mendapatkan persetujuan daripada Hisham.
''Mula-mula saya tidak perasan, tapi lama- kelamaan saya rasa dia terlalu mengongkong saya. Setiap 10 minit sekali pasti dia menelefon bertanyakan apa yang sedang saya lakukan atau saya sedang bersama siapa.
''Seminggu selepas perkenalan kami dia sudah mula menampar wajah saya sekiranya dia mendapat tahu saya keluar makan dengan rakan-rakan sekerja lain tanpa kebenaran daripadanya. Bila keluar makan dia akan menjemput saya untuk makan bersama menjadikan saya sudah tidak dapat lagi bersama kenalan dan rakan-rakan," jelasnya.
Jelas Rani, kehidupannya di rumah sewa pun Hisham mahu ambil tahu. Sehinggakan kunci rumah pun dia yang pegang. Namun begitu Rani tetap mengambil pendekatan mendiamkan diri. Ibu dan keluarga di kampung tidak diberitahu apa yang terjadi terhadap dirinya.
Menurut Rani, atas nasihat rakan-rakan yang simpati, dia cuba menjauhkan diri daripada Hisham. Namun, ke mana sahaja dia melarikan diri, Hisham akan dapat menjejaknya.
Peritnya, apabila dia ditemui, pemuda itu pasti akan memukulnya sehingga berdarah kononnya sebagai balasan atas apa yang dilakukan Rani.
''Saya cuba membuat laporan polis. namun apabila saya hendak bertindak demikian, Hisham pasti datang kepada saya memohon keampunan dan kemaafan daripada saya dan menyatakan dia amat menyintai saya sehinggakan tiada apa yang boleh memisahkan kami,"katanya.
Suasana tenang kembali. Rani cuba mengambil pendekatan memaafkan Hisham dan cuba memulakan kehidupan baru bersama lelaki itu tambahan pula gadis ini amat menyintainya.
''Seterusnya, seminggu berlalu apabila dia mula melakukan kekerasan semula. Justeru, saya berazam untuk menjauhkan diri.
"Entah bagaimana dia datang ke rumah sewa saya. Kebetulan hari itu teman serumah tiada. Dia memecahkan pintu bilik sewa saya dan kemudian bertanya kepada saya mengapa saya cuba melarikan diri daripadanya," katanya.
Kali ini Rani tidak lagi mampu menjawab. Hisham bertindak mencekak rambut Rani dan kemudian menghentakkan muka Rani ke dinding menyebabkan hidung dan mulut Rani berdarah.
''Apa yang saya tidak sanggup hadapi ialah ketika dia mencampakkan saya ke lantai dan membuka baju tidur saya dan kemudian merogol saya dalam keadaan saya tidak bermaya.
''Ketika dirogol saya tidak sedar dan setelah tersedar dua jam kemudian saya melihat diri tidak berpakaian dan Hisham menangis di sudut katil memerhatikan saya," jelasnya.
Sambil Hisham menyatakan beribu penyesalannya, Rani berkata, dia menguatkan diri untuk bangun dan bergegas berpakaian dalam keadaan terhuyung-hayang.
Ketika itu Hisham tetap juga menangis dan merayu agar Rani tidak meninggalkannya dan menyebut bahawa dia melakukan itu semua atas dasar terlalu mencintai gadis itu.
Namun Rani terus berjalan keluar dari rumah sewanya dan nekad menghubungi abang-abangnya untuk memberitahu perkara sebenarnya.
Sampai di saat itu Rani berhenti. Katanya, Hisham telah dipukul oleh abang-abangnya dan kemudian dibawa ke balai polis manakala dia sendiri menjalani prosedur rawatan rogol di sebuah hospital akibat trauma. Hisham turut menjalani rawatan mental.
Rani menambah, biarpun hampir enam bulan sejak peristiwa itu berlalu namun tidak semudah itu dia melupakan peristiwa hitam yang menyakiti dirinya.
0 Komentar untuk "Dirogol kekasih kerana cinta !!"

 
Copyright © 2014 PiNg SaMa DiA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info