PiNg SaMa DiA

Blog Isu Semasa

SEGERA: Hentikan Aktiviti Ketenteraan Di Lokasi MH17 – PM





Malaysia dan Belanda sepakat menggesa aktiviti ketenteraan di kawasan nahas MH17 dihentikan serta merta bagi membolehkan usaha membawa pulang saki baki mayat mangsa dengan segera.



Gesaan itu dinyatakan dalam sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya dari Belanda, Mark Rutte di Amsterdam.



“Demi keluarga mangsa yang sedang bersedih, semua saki baki mayat mangsa nahas perlu dibawa pulang secepat mungkin.



“Setiap mangsa perlu dikebumikan dengan penuh bermaruah,” kata Najib.



Najib dan Rutte turut sepakat menyeru supaya pasukan penyiasat antarabangsa diberi akses penuh ke lokasi nahas demi mendapatkan keadilan setiap mangsa yang terlibat.



“Kami meminta supaya kedua-dua pihak, tentera Ukraine dan puak pemisah supaya segera menghentikan pertempuran di kawasan nahas.



“Konflik di timur Ukraine tidak mudah untuk diselesaikan. Tetapi, kesemua penumpang dalam pesawat (MH17) tiada kena mengena dengan konflik itu,” katanya.



Dalam sidang media bersama itu, Najib turut memaklumkan 68 anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah tiba di Kiev dan bekerjasama dengan pasukan polis Belanda dan Australia untuk mengawal kawasan nahas.



Najib tiba di Netherlands pada Khamis untuk melakukan lawatan kerja dua hari berkaitan nahas yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Ukraine.



Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol pada 8 pagi (2 petang di Malaysia) dengan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor.



Delegasi itu turut dianggotai Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya.



Perdana Menteri dijadualkan akan ke Hilversum, tempat proses pengecaman dan forensik dilakukan terhadap mayat mangsa nahas. – AstroAwani.com

View the original article here

0 Komentar untuk "SEGERA: Hentikan Aktiviti Ketenteraan Di Lokasi MH17 – PM"

 
Copyright © 2014 PiNg SaMa DiA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info