PiNg SaMa DiA

Blog Isu Semasa

Masalah Dalam Solat Yang Perlu Di Pelajari


Masalah pertama:
Gerak-geri yang sedikit walaupun tiada membatalkan sembahyang, tetapi hukumnya makruh melainkan kerana keperluan, iaitu; seperti menolak orang lalu di hadapan, membunuh kelajenking atau menggaru kerana gatal yang tentu sekali akan menggangu kekusyu’an. Kalau menguap, tidak mengapa meletakkan tangan ke atas mulut; atau jika bersin bolehlah memuji Allah Azzawajalla di dalam hati tanpa menyebut dengan lidah atau kiranya sendawa, maka janganlah hendaknya mengangkat kepala ke atas.
Masalah kedua:
Jika seorang saja yang bersembahyang berimam, hendaklah berdiri di sebelah kanan Imam di belakangnya sedikit. Jika makmumnya perempuan, hendaklah dia berdiri di belakang Imam. Sekiranya hadir bersama mereka seorang lelaki lain, hendaklah si lelaki itu berdiri di sebelah kanan belakang Imam, dan si perempuaan di belakang makmum lelaki pula.
Masalah ketiga:


Makmum masbuk (terlewat) bila mendapat akhir sembahyang imam, maka itulah permulaan sembahyangnya. Hendaklah ia menyertai Imam hingga selasai sembahyangnya, kemudian ia meneruskan pula hingga genap semua sembahyangnya sendiri. Pada sembahyang subuh hendaklah dia berqunut lagi dalam rakaat keduanya sendirian, walaupun dia telah berqunut bersama Imam sebelumnya tadi.
Bila makmum masbuk mendapati Imam telah habis setengah dalam berdirinya, maka janganlah ia membaca doa Iftitahnya lagi, malah hendaklah ia terus membaca Fatihah dengan sedikit cepat. Tetapi apabila Imam ruku’ sedangkan ia masih belum selesai membaca Fatihahnya, hendaklah mengagak kiranya sempat ia mengusul Imam waktu i’tidalnya dari ruku’ bolehlah ia terus menghabiskan Fatihahnya, jika tak sempat hendaklah ia berhenti dari Fatihah dan terus ruku’ bersama-sama Imam, sebab dihukumkan setengah Fatihahnya menjadi kesemuanya dan gugurlah Fatihah itu dengan kemasbukannya. Jika Imam ruku’ sedangkan ia masih membaca surah, hendaklah ia memutuskannya, lalu terus ruku’ bersama imam. Jika ia mendapati di pertengahan sujud atau tasyahhud, hendaklah ia bertakbir ihram dan terus sujud atau duduk bersama Imam tanpa perlu bertakbir lagi, kecuali jika ia mendapati Imam di pertengahan ruku’, maka hendaklah ia bertakbir lagi sesudah takbiratul-ihram, sebab takbir kedua itu adalah takbir perpindahan yang mesti dikira atasnya.
Makmum masbuk tidak dikira mendapat satu rakat dengan Imam, selagi tiada tumakninah di dalam ruku’nya, manakala Imam ketika itu masih dalam batasan orang-orang yang ruku’, jika tiada bererti tiada terkiralah itu satu rakaat.
Masalah keempat:
Sesiapa yang tertinggal sembahyang zohornya hingga ke waktu asar, hendaklah ia bersembahyang zohor dulu kemudian asar pula, tetapi kiranya ada orang yang mendirikan sembahyang asar berjemaah, hendaklah ia mendahulukan asar berjemaah, kemudian bersembahyang zohor sesudah itu, sebab sembahyang berjemaah itu lebih utama.
Masalah kelima:
Sesiapa yang telah menunaikan sembahyang kemudian didapati pada pakaiannya ada najis, sebaik-baiknya ia mengqadha’kan sembahyang itu, tetapi hukumnya tidak wajib qadha’. Jika ia melihat ada najis pada pakaiannya ketika di dalam sembahyang, hendaklah ia melontarkan pakaian itu seraya meneruskan sembahyangnya. Asal hukum ini ialah kembali kepada peristiwa Nabi menanggalkan kedua kasutnya, apabila Jibril a.s. memberitahunya bahawa padanya ada najis, maka segeralah baginda menanggalkannya, lalu meneruskan sembahyang hingga akhirnya.
Masalah keenam:
Sesiapa yang meninggalkan tasyahhud awal ataupun merasa syak tidak ingat berapa rakaat sudah dilakukannya; apakah tiga rakaat ataupun empat, hendaklah ia ambil dengan yang yakin, kemudian ia sujud sahwi sebelum salam. Kiranya ia lupa pula boleh juga dibawanya sujud sahwi itu sesudah salam apabila ia ingat, asalkan masanya tidak terlalu jauh.
Masalah ketujuh:
Waswas dalam meniatkan sembahyang dalam hukum syara’. Kerana dalam segi niat dan maksud mematuhi perintah Allah azzawajalla itu, samalah seperti mematuhi perintah selainnya, begitu pula membesarkannya seperti membesarkan selain darinya. Andaikata seseorang kamu telah didatangi oleh seorang alim, lalu dia pun bangun kerana menghormati orang alim itu. Kalau dia berkata: Aku berniat hendak berdiri tegak untuk menghormati kedatangan si Fulan yang termulia itu, kerana keutamaannya, dan dia pun menghadapkan wajah kepada si Fulan itu. Orang ini adalah seorang safih atau kurang sempurna akalnya (kerana perkara serupa itu tidak perlu hendak diniatkan terlebih dulu – pent.). Tetapi bila dilihatnya keadaan si Fulan itu dan diketahui keutamaannya, tentulah akan timbul dalam dirinya perasaan ingin menghormatinya, dan dia lalu bangun memberikan penghormatan; memadailah dengan cara begitu dia menjadi seorang yang menghormati kepada si Fulan tadi. Kecuali jika dia bangun itu kerana tujuan yang lain, ataupun dia bangun dalam keadaan lalai – itu tiada dikira sebagai penghormatan.
Adapun mensyaratkan niat sesuatu sembahyang itu sebagai zohor yang ditunaikan pada waktunya sebagai adaan, fardhan (tunai fardhu); iaitu kerana menurut perintah syara’, maka itu samalah seperti mensyaratkan berdiri menghormat seketika tamu masuk dengan muka menghadap kepada tamu yang masuk itu serta memalingkan perhatian dari selainnya, dan serentak pula dia meniatkan penghormatan kepada tamu itu agar benar-benar menjadi penghormatan yang tulen. Andaikata ia turut berdiri tetapi membelakangi si tamu, atau menunggu seketika waktu kemudian barulah ia berdiri; ini bukanlah dinamakan penghormatan. Sifat-sifat ini mestilah menjadi termaklum dan termaksud pada orang yang berniat dan tiada boleh hadirnya terlalu lama di dalam diri dalam suatu masa, melainkan sekadar lamanya penyusunan perkataan-perkataan yang berkaitan dengan niat itu menerusi sebutannya dengan lidah, ataupun memikirkannya dengan hati. Barangsiapa yang tiada mengerti niat sembahyang dalam wajah (rupa) ini, seolah-olah dia belum mengerti niat yang sebenarnya. Jadilah ia seperti seorang yang diajak untuk bersembahyang dalam waktunya, maka ia pun mengangguk tanda setuju, lalu berdiri melakukan sembahyang itu.
Ketahuilah, bahawa waswas itu adalah kejahilan yang tulin.
Masalah kelapan:
Seorang makmum tidak boleh mendahului Imamnya dalam ruku’, sujud dan bangun dari keduanya, begitu pula pada semua amalan-amalan sembahyang yang lain. Dia tidak boleh juga menyertai gerak-laku Imamnya, tetapi hendaklah ia mengikut, yakni membuat sesudah Imamnya, tetapi hendaklah ia mengikut, yakni membuat sesudah Imam habis membuatnya. Itulah yang dimaksudkan dengan pengertian iqtida’ (mengikut atau makmum). Jika ia mendahului gerak-laku Imamnya, ada setengah ulama menghukumkan sembahyang itu batal dan setengah yang lain tidak (tetapi hilang pahala berjemaah – pent.).
Rasulullah s.a.w. telah melarang dengan keras kelakuan serupa itu dengan sabdanya:
“Tidakkah orang yang mengangkat kepalanya sebelum Imamnya itu merasa takut, nanti Tuhan akan menggantikan kepalanya dengan kepala keledai.”
Masalah kesembilan:
Wajiblah atas setiap orang yang menghadiri sembahyang beramai-ramai menegur saudaranya, jika ia melihat sesuatu kesalahan dalam sembahyang saudaranya itu, dengan membetulkannya atau mengingatkannya. Kalau orang itu seorang yang jahil tentang hal agamanya, maka hendaklah dia menegurnya dengan lemah-lembut serta mengajarnya.
Di antara kesalahan-kesalahan yang sering berlaku ialah meratakan saf, atau melarang berdiri sendirian di luar saf, atau mengingatkan supaya jangan mengangkat kepala sebelum Imam atau sebagainya.
Diriwayatkan dari Umar Ibnul-Khattab, beliau berpesan: Sering-seringlah mencari rakan-rakan kamu dalam sembahyang berjamaah, kiranya mereka tiada hadir kerana mengidap penyakit, maka hendaklah kamu melawat mereka. Jika mereka baik, tetapi tidak hadir berjamaah, hendaklah kamu mencela mereka.
Mencela dari hadir sembahyang berjemaah adalah amat diberatkan oleh agama, tidak boleh diambil senang saja. Orang-orang dahulukala sangat-sangat mengambil berat sekali tentang sembahyang yang berjamaah.
0 Komentar untuk "Masalah Dalam Solat Yang Perlu Di Pelajari"

 
Copyright © 2014 PiNg SaMa DiA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info