JURULATIH baharu Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah berazam untuk mengembalikan semula prestasi pasukan itu ke tahap yang sebenar.


Beliau berkata pengalaman yang ada selama ini akan digunakan bagi membantu pasukan ‘The Red Warriors’ mencapai kejayaan pada musim ini.


“Ini merupakan satu tanggungjawab besar buat saya memandangkan pasukan ini mempunyai reputasi tinggi selain harapan menggunung para penyokong, saya anggap ia satu cabaran bagi menguji kemampuan sebagai jurulatih,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Mohd Azraai Khor berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan pasukan, jurulatih dan pemain ‘The Red Warriors’ terlebih dahulu sebelum menjalankan tugas.


“Pertemuan itu amat penting untuk mengenal pasti segala kelemahan yang ada, disiplin merupakan salah satu kunci utama kekuatan pasukan,” katanya.


Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hari ini mengumumkan bekas pengendali T-Team Mohd Azraai Khor sebagai jurulatih baharu bagi menggantikan George Boateng.


Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata Mohd Azraai akan dibantu oleh Zahasmi Ismail dan Mohamad Sidek Shamsuddin serta perubahan ini berkuat kuasa esok.


Pada musim ini, Kelantan mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga Super selepas hanya mampu mencatatkan dua kemenangan dalam lima perlawanan dan kini berada pada kedudukan ketujuh liga dengan tujuh mata. – BERNAMA