Situasi 'terbabas' dalam hubungan suami isteri biasa berlaku. Walau sudah merancang untuk tidak hamil dalam tempoh tertentu, sesetengah wanita akhirnya 'tewas' juga. Sebenarnya perancangan bijak untuk mengatur jarak anak sangat penting. Apatah lagi jika anda mahu meletakkan jarak tertentu di antara anak-anak. Konflik yang biasa dihadapi oleh kebanyakan pasangan adalah untuk memilih kaedah terbaik bagi merancang kehamilan. Apa dan bagaimana untuk melakukannya?
 
 
Faktor Kewangan
Merancang keluarga bukan sekadar kerana mahu menjarakkan umur anak semata-mata. Memandangkan perbelanjaan untuk menguruskan kebajikan anak sudah semakin meningkat, ibu bapa perlu lebih peka akan hal untuk merancang keluarga. Jarak yang terlalu rapat antara anak-anak akan meningkatkan kos perbelanjaan rumah. 
 
 
Kestabilan Emosi
Ada anak-anak kecil tanpa perancangan boleh memberi tekanan kepada pasangan suami isteri. Apatah lagi jika kewangan yang tidak stabil. Menguruskan keluarga yang besar boleh menjadi satu bebanan jika seorang ibu itu tidak mempunyai kekuatan emosi dan fizikal yang sewajarnya.
 
 
Kebajikan Anak-anak
Benar semua ibu bapa akan memberikan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Walaupun begitu, anda harus sedar jarak rapat antara anak-anak akan membuatkan kebajikan mereka terganggu. Tidak semua keperluan mereka boleh dipenuhi. Oleh itu, pastikan anda bersedia sebelum merancang untuk menambah bilangan anak.
 
 
Kesihatan Ibu
Seseorang wanita harus memikirkan untuk merancang kehamilan atas faktor kesihatan mereka sendiri. Kehamilan rapat akan menggangu kesihatan ibu terutamanya yang melahirkan secara pembedahan. Sekurang-kurangnya, tunggulah sehingga dua tahun sebelum kehamilan seterusnya. Pada waktu itu rahim sudah bersedia. Bagi ibu yang melahirkan secara pembedahan jarak kehamilan antara tiga atau empat tahun amat disarankan.
 
 
 
Kaedah terbaik?
- Pengambilan pil
- Suntikan hormon
- Alat dalam rahim
- Kaedah kekal (ikatan pada tiub peranakan)
- Vasektomi (lelaki)
 
 
Kebaikan Merancang Keluarga
 
Berikut beberapa faedah sekiranya sesebuah pasangan itu merancang keluarga mereka:
  • Meningkatkan kualiti hidup ibu dan anak-anak
  • Menjamin kesihatan yang lebih baik buat ibu dan anak-anak
  • Memudahkan pengurusan kewangan keluarga