SEORANG penghidap kanser otak dan paru-paru berumur 80an mengambil minyak ganja setelah doktor mengesahkan dia boleh hidup hanya beberapa minggu.

Dia disahkan bebas daripada kedua-dua kanser tersebut dalam tempoh sembilan bulan. Hari ini setelah lebih tiga tahun mengambil minyak ganja, dia hidup sihat serta menjalani aktiviti harian seperti orang lain.

Ikuti kisahnya berjudul Culture Exclusive: Cannabis Cures Cancer - The Stan Rutner di Youtube.

Kajian makmal pada 2008 dalam laporan The Journal Of Clinical Investigation mendapati sejenis cannabinoid iaitu tetrahydrocannabinol (THC) berupaya menyembuhkan kanser otak.

Golongan saintis yang menjalankan penyelidikan itumembuat kesimpulan, dengan menggunakan proses biokimia yang serupa THC berupaya menyembuhkan pelbagai jenis kanser lain.

Kajian lain mendapati cannabinoid mampu berfungsi menggunakan pelbagai mekanisme termasuk merencatkan pertumbuhan sel kanser, menyebabkan kematian sel kanser dan menghalang metastasis (perpindahan sel kanser ke organ lain).

Undang-undang dua puluh negeri di Amerika Syarikat membenarkan penduduknya menggunakan ganja untuk tujuan perubatan.

Golongan aktivis dan badan bukan kerajaan merupakan penggerak utama dalam berkempen di mana akhirnya mereka menjalankan pungutan suara.

Pungutan suara yang ditangani oleh sebilangan penduduk sesuatu negeri kemudiannya di hantar kepada pihak berkuasa untuk diteliti. Usaha yang dilakukan mengambil masa yang panjang dan terpaksa menempuh pelbagai rintangan.
  

Kawal penggunaan

Mungkin apabila tiba masa sesuai, negara kita juga membenarkan orang awam menggunakan ganja untuk tujuan perubatan. Sebelum kebenaran dilaksanakan, sudah tentu kajian terperinci perlu dijalankan.

Antara lain yang utama ialah mengeluarkan lesen kepada pengeluar (penanam) dan pengedar/peruncit. Pengguna perlu mendapatkan kad yang mengandungi butir-butir kebenaran daripada pihak berkuasa contohnya doktor perubatan tanpa prejudis.

Sebagaimana dilaksanakan di negeri-negeri Amerika Syarikat yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan, setiap penduduk boleh memiliki misalnya sebatang pokok dan beberapa gram ganja kering pada satu-satu masa.

Maksudnya jika seseorang didapati memiliki pokok atau ganja kering lebih daripada kuantiti yang dibenarkan maka ia boleh didakwa pihak berkuasa. Pastikan terdapat klaus yang membenarkan penghidap menggunakan produk ganja seperti minyak ganja atau krim.

Berikut ialah rumusan utama berkaitan bancian bersifat tinjauan yang dijalankan mantan Presiden American Herbalists Guild (AHG), Aviva Romm, berkaitan penggunaan ganja oleh golongan responden tinjauan yang bertaraf herbalis profesional berdaftar dengan AHG.

Untuk pengetahuan pembaca, penulis ialah satu-satunya herbalis Malaysia yang menerima pengiktirafan sebagai herbalis profesional oleh AHG dan berdaftar dengannya.

Namun penulis sendiri tidak terlibat langsung dengan tinjauan tersebut.

Tinjauan berjudul AHG Professional Member Survey: Medicinal Use of Cannabis itu menunjukkan ganja (Cannabis Sativa) digunakan hampir separuh responden untuk tujuan perubatan.

Pada masa sama 55 peratus responden tidak pernah menawarkan penggunaan ganja kepada klien untuk tujuan perubatan.

Sebahagian besar responden tidak menawarkan penggunaan ganja dengan alasan ia adalah bahan diharamkan oleh undang-undang.

Lebih kurang 80 peratus responden menyatakan mereka akan menawarkan penggunaan ganja jika penggunaannya tidak dikekang undang-undang.
Tinjauan tersebut mendapati golongan responden menggunakan ganja secara menyendiri tanpa digabungkan dengan herba lain dalam sebahagian besar rawatan.

Kaedah utama penggunaan ganja untuk tujuan perubatan oleh responden ialah menyedut asap, menyedut wap dan dimakan/minum.

Penulis sendiri tidak pernah menggunakan ganja untuk tujuan perubatan sama ada untuk kegunaan sendiri atau menawarkannya kepada klien.

Namun penulis mengetahui minum rebusan daun ganja adalah antara kaedah utama yang dapat dijadikan penawar untuk redakan  penyakit tertentu.

Pengambilan tincture iaitu sediaan herba yang disediakan dengan merendam herba dalam arak contohnya Vodka adalah amalan yang paling kurang dicadangkan oleh responden tinjauan.

Untuk pengetahuan pembaca, tincture halal boleh disediakan dengan merendam herba dalam cuka atau gliserin berasal daripada pemprosesan minyak sawit.

Tincture terutama tincture arak dikatakan adalah sediaan herba yang paling mujarab dibandingkan dengan sediaan jenis lain seperti rebusan dan sediaan jenis teh (herba direndam dengan air panas selama beberapa minit) atau serbuk herba kering. Tincture cuka dan gliserin juga sebenarnya berguna sebagai bahan rawatan walaupun kuasanya kurang sedikit berbanding tincture arak


Kegunaan terapeutik

Apakah jenis penyakit yang boleh dirawat oleh ganja seperti yang telah diamalkan oleh responden bancian berbentuk tinjauan yang dijalankan oleh Aviva Romm?

Laporan tinjauan beliau menunjukkan responden paling kerap mencadangkan penggunaan ganja terhadap penyakit seperti kanser, glaucoma, keresahan (kerisauan), kurang/hilang selera makan, rasa sakit dan insomnia.

Sebanyak 56.4 peratus responden menganggap ganja menyebabkan ketagihan, manakala 74.9 peratus menganggap ia selamat digunakan golongan dewasa. Bagi 78.4 peratus responden percaya ia tidak selamat digunakan oleh kanak-kanak. Tiga perempat responden percaya ganja tidak selamat digunakan oleh ibu mengandung.

Data tinjauan tersebut juga menunjukkan responden menggunakan ganja untuk merawat Amyotrophic lateral sclerosis (ALS), penyakit Alzheimer, anorexia, attention deficit hyperactivity disorder, atritis, sindrom Asperger, sakit pinggang, gangguan bipolar, body dismorphic disorder, penyakit Crohn, ketagihan dadah, asma, tidak datang haid, endometriosis, sawan (epilepsi), masalah ereksi, fibromyalgia, glaucoma dan sakit kepala.

Beberapa penyakit seperti bronkitis, diabetes dan hepatitis C juga boleh dirawat menggunakan ganja. Namun data tinjauan menunjukkan tiada seorang pun responden yang menggunanya untuk tujuan tersebut.

Pangkalan data Natural Standard memaparkan bukti sains berdasarkan kategori jelas, baik dan tidak jelas terhadap manfaat ganja untuk tujuan perubatan. Manfaat yang disenaraikan oleh Natural Standard hanya adalah sedikit berbanding dengan pelbagai kegunaan yang digunakan dalam tinjauan AHG.

Sebahagian herbalis mengamalkan penggunaan sesuatu herba secara empiris iaitu berdasarkan keputusan daripada pengamalan yang tidak semestinya didahului oleh penemuan sains.

Menurut mantan pengarah Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) dalam sebuah bengkel penerangan beberapa tahun dahulu, hanya pengamal perubatan alternatif yang berdaftar dengan T&CM dibenarkan menggunakan herba yang dikategorikan sebagai bahan narkotik. Untuk keterangan lanjut sila ajukan soalan anda kepada pegawai T&CM.

SUMBER: WWW.SINARHARIAN.COM.MY