Serangan di Masjid Besar di Kano, bandar raya yang majoriti penduduknya merupakan penganut agama Islam itu, dilancarkan semasa jemaah memulakan solat Jumaat.
Masjid berkenaan bersambung dengan kediaman seorang ulama Islam paling disegani Nigeria iaitu Muhammad Sanusi II yang minggu lalu menggesa orang awam supaya bersatu untuk memerangi kumpulan militan Boko Haram.
Insiden tersebut dilancarkan selepas satu serangan bom yang menyasarkan sebuah lagi masjid di bandar Maiduguri berjaya dipatahkan awal pagi semalam, lima hari selepas dua orang pengebom berani mati wanita membunuh lebih 45 orang penduduk di bandar berkenaan.
Jurucakap polis kebangsaan, Emmanuel Ojukwu memberitahu AFP, dua pengebom berani mati itu meletupkan diri hampir serentak sebelum beberapa orang lelaki bersenjata menembak para jemaah yang cuba melarikan diri.
Ojukwu berkata, beliau tidak dapat memastikan sama ada pengebom terlibat lelaki atau wanita memandangkan Boko Haram kini banyak merekut wanita untuk me­lakukan serangan nekad.
Katanya lagi, orang ramai yang berang dengan serangan itu membunuh empat penembak dalam kekecohan tersebut dengan seorang saksi memberitahu penembak terbabit telah dibakar.
Seorang wartawan AFP memberitahu, seramai 92 orang mangsa yang cedera dirawat di Hospital Murtala Mohammed dengan kebanyakan daripada mereka terdiri daripada jemaah solat Jumaat.  AFP