JOHOR BHARU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan memberi pengampunan dan pembebasan seorang banduan serta meringankan hukuman 10 banduan bersempena Istiadat Kemahkotaan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim berkata banduan yang dibebaskan itu merupakan juvana ketika melakukan kesalahan bunuh pada 2004, yang dilepaskan pada 19 Mac baru-baru ini selepas mengadap Sultan Johor.
“Sultan Ibrahim berkenan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor pada 5 Mac lepas.
“Mesyuarat terbabit telah menimbangkan 10 kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 dan 13 kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000,” katanya kepada pemberita di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini.
Beliau berkata mesyuarat tersebut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bersama-sama tiga orang Ahli Lembaga Pengampunan Negeri Johor yang dilantik Sultan Johor.
Ismail berkata atas nasihat Ahli Lembaga Pengampunan Negeri Johor, Sultan Ibrahim menitahkan banduan tersebut yang kini berumur 28 tahun diberi pengampunan dan dibebaskan dengan syarat dikehendaki mengadap Sultan Johor bagi memastikan benar-benar telah insaf.
Sehubungan itu, katanya banduan yang dibebaskan di bawah kes KHETS itu, dibawa mengadap Sultan Johor pada 12 tengah hari, 19 Mac lepas, di Istana Bukit Serene, bersama-sama ibu dan bapanya serta diiringi Pegawai Penjara.
Dengan perintah pengampunan dan pembebasan berkenaan, diharapkan banduan itu menggunakan peluang kedua untuk manfaat dirinya, keluarga, masyarakat serta negara, katanya.
Bagi peringanan hukuman terhadap 10 banduan pula, Ismail berkata Sultan Ibrahim berkenan meringankan hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara seumur hidup terhadap tiga banduan yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Turut diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup ialah tiga banduan yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, katanya.
“Seorang banduan yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta tiga lagi banduan yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kes bunuh) pula diringankan daripada hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara sepanjang hayat,” katanya. – BERNAMA
0 Komentar untuk "Sultan Johor Berkenan Ampunkan, Ringankan Hukuman Banduan"