Memanglah tidak salah jika sesekali bermanja dengan orang tersayang dan mengharapkan dia melayan anda seperti ayah sendiri. Namun begitu hubungan anda akan berhadapan dengan masalah jika anda mengharapkan layanan begitu setiap masa. Bukan masalah biasa tetapi memang akan betul-betul menjadi masalah besar. Adakah anda termasuk dalam golongan begini?
Perkara ini walaupun tidak berlaku secara jelas dan sedar tetapi itu berlaku dalam minda separa sedar. Kita boleh lihat sifat ini dalam bentuk beberapa perbuatan dan tingkah laku. Sebagai contoh ;
a. Memanggil teman lelaki, tunang atau suami dengan gelaran ‘daddy’, ‘ayah’, ‘papa’ dan lain-lain yang seerti dengannya.
b. Selalu datang dan duduk di atas riba suami semasa dia sedang membaca akhbar atau fokus membuat kerja.
c. Membuat pengakuan ‘berani mati’ tentang kesilapan dan ketelanjuran anda dahulu.
d. Mengizinkan suami mengawal duit yang anda dapat dengan titik peluh anda sendiri.
*Itu baru tingkah laku luaran tetapi belum lagi tentang cara berfikir dalam minda yang bakal mempengaruhi perangai, sikap, sifat dan tingkah laku nanti.
Jika dilihat daripada skop perkembangan psikologi memang ada disebut tentang anak perempuan ‘jatuh cinta’ kepada ayahnya. Maksud jatuh cinta ini sangat luas. Saya maksudkan di sini ialah anak gadis itu melihat dan mengharapkan lelaki yang bakal hadir dalam hidupnya nanti juga bersifat dan akan melayan seperti ayahnya itu.
Secara tidak sedar dia masih tidak mahu kehilangan layanan emas tersebut walaupun telah dewasa. Namun begitu jika dia meneruskan harapan ini kepada tunang atau suami sebagaimana ayah sendiri maka semakin dalam dia terperangkap dalam kurungan minda sebagai gadis kecil yang manja.
Terdapat kecenderungan besar seorang tunang atau isteri itu menggunakan ‘software’ minda sebagai gadis kecil walaupun telah lama dalam dunia perkahwinan apabila berhadapan dengan situasi-situasi berikut;
a. Kerap kali menggunakan label ‘takut mengecilkan hati’ dan mengelak menyatakan apa dia mahu terutama apabila melibatkan isu yang serius.
b. Lebih redha menjeruk rasa daripada berhadapan dengan tindak balas daripada suami.
c. Lebih redha berdiam dan memendam rasa walaupun sangat tidak setuju semata-mata untuk mengelakkan perbezaan pendapat.
Ini kerana minda separa sedarnya menyatakan yang dia hanya gadis kecil jadi tolong jangan ‘apa-apakan saya’, ‘saya tidak mampu bergerak ke depan jika apa-apa jadi dalam hubungan kita’ atau ‘tolong lindungi saya’. Bukankah ini suara-suara hati daripada perasaan gadis kecil? Memang comel suara itu jika anda berumur 9 atau 10 tahun tetapi jika anda sudah 35 tahun dan mempunyai anak berderet, suara minda begitu tidak lagi comel!
Suami anda mengharapkan anda matang bersama-sama dengannya menghadapi realiti kehidupan sebenar dan bukan terperangkap dalam dunia gadis kecil berumur 10 tahun. Itu sebabnya kenapa terlalu ramai isteri yang mengaku ‘telah berkorban’ segala-galanya tetapi tidak diendahkan bahkan ditinggalkan suami mereka. Ini kerana mereka membawa software minda gadis kecil dalam dunia perkahwinan sebenar. Saya ulang semula apa yang telah saya sebutkan berkali-kali dalam ruangan ini. Lelaki lebih menghormati wanita yang menghormati dirinya sendiri.
Adakah anda bersikap seperti yang kita bincangkan ini? Susah juga untuk mengkategorikan begitu tetapi cuba semak semula. Adakah selama ini anda sentiasa bergantung kepada ‘nasihat’ atau panduan suami dalam segala-gala hal termasuk hal-hal kecil dan remeh?. Adakah anda sentiasa merasa ‘bahagia’ dan dilindungi apabila diselamatkan apabila berlaku perkara yang sebenarnya anda boleh selesaikan sendiri? Adakah anda pernah berfikir bagaimana anda akan mengemudikan hidup jika suami anda meninggal dunia sebelum anda? Jika anda sentiasa mengharap suami membuat keputusan untuk anda, merasa bahagia apabila diselamatkan dan tidak pernah terfikir apa akan jadi jika suami sampai umur dahulu maka anda perlu berfikir semula yang suami anda itu bukan ayah anda.
Ayah anda akan membawa rasa kasihnya kepada anda hingga ke hujung nyawa walau apa pun yang terjadi. Namun jika anda telah berpisah dengan suami dan dia sampai jodoh dahulu maka dia akan berkahwin semula tanpa sedikit pun rasa terkilan di hati.
0 Komentar untuk "Manja Wanita Biar Bertempat"