PiNg SaMa DiA

Blog Isu Semasa

Berbakti Hingga Nafas Terakhir



Rembau: “Selagi orang tua saya masih hidup, selagi itu saya akan terus berbakti kepadanya sehingga nafas terakhir,” kata Shahrulzaman Ahmad yang mengambil keputusan berhenti kerja demi menjaga bapanya yang terlantar akibat lumpuh.

Shahrulzaman, 36, berkata, dia yang bekerja sebagai pemandu peribadi di Kuala Lumpur berhenti pada Oktober lalu sebaik ibunya, Norhaini Yusuf, 66, meninggal dunia akibat sakit jantung.

Menurutnya, sejak enam tahun lalu bapanya yang juga bekas tentera, Ahmad Abu Hassan, 71, menderita lumpuh di kaki kiri sehingga menyukarkan pergerakan dan hanya terbaring kerana anggota badan lain turut lemah.

“Sebelum ini, saya berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Seremban dan bergilir menjaga ayah. Abang, Khairulnizam, 41, dan arwah ibu akan menjaga ayah pada waktu siang manakala saya pula di waktu malam,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru, Kota, semalam.

Menurutnya, keputusan berhenti kerja dibuat kerana tidak mahu membiarkan bapanya tinggal seorang diri selain tidak mahu membebankan adik-beradik yang lain.

“Kini saya bekerja sendiri dengan mengambil upah membuat pendawaian elektrik. Saya dapat memantau keadaan ayah dengan lebih kerap kerana ayah tidak boleh bangun dan berjalan,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Shahrulzaman berkata, setiap pagi sebelum keluar bekerja, dia akan memastikan bapanya mandi dan bersarapan terlebih dulu sebelum dia pulang ke rumah pada tengah hari.

“Setiap kali mahu memandikan ayah, saya akan mendukungnya ke tandas,” katanya.

Dia berkata, berikutan kesukaran itu, dia membuat permohonan bantuan kerusi roda dan katil boleh laras serta membaik pulih rumah bapanya melalui Pejabat Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Seremban, dekat sini.

Lebih menggembirakan apabila permohonan bantuan kerusi roda itu diluluskan dan kini berharap Veteran ATM dapat meluluskan permohonan bagi mendapatkan katil boleh laras dan membaik pulih rumah.

Sementara itu, Pemangku Ketua Cawangan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Kota, Mejar (B) Isnin Zainal berkata, penerima bantuan kerusi roda itu pernah berkhidmat dalam ATM selama 21 tahun sebelum bersara pada 1984.

“Dia juga menerima pencen RM850 setiap bulan. Selain itu, pihak kami juga sedang berusaha mendapatkan katil boleh laras untuk keselesaannya bagi menggantikan tilam yang sudah lama,” katanya.
0 Komentar untuk "Berbakti Hingga Nafas Terakhir"

 
Copyright © 2014 PiNg SaMa DiA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info