Dalam kejadian pukul 1.55 petang semalam, Hasan Sani Laksimana, 43, yang menghidap asma meninggal dunia di hadapan pintu rumahnya di Flat Taman Seruling Emas dekat Sungai Bakap di sini dipercayai akibat lemas terhidu asap.


Kejadian itu mengakibatkan tiga anaknya yang berusia antara empat hingga 14 tahun kini hilang tempat bergantung selepas ibu mereka menghilangkan diri sejak dua tahun lalu.
Menurut seorang jiran yang ha­nya ingin dikenali sebagai Jamil, 50-an, Hasan yang berasal dari Kudat, Sabah merupakan seorang yang ‘ringan tulang’ serta amat disenangi penduduk flat itu kerana suka menolong jiran-jiran.


Katanya, Hasan tinggal bersama tiga anaknya di rumah itu sejak tiga tahun lalu dan hanya menyara kehidupan dengan bekerja secara sambilan akibat masalah kesihatan yang dialaminya.


“Kami semua terkejut dengan kejadian tersebut kerana sebelum itu Hasan membantu memadamkan kebakaran kecil di dapur rumah jiran berhadapan rumahnya sebelum tiba-tiba rebah dipercayai akibat sesak nafas kerana terhidu asap.


“Beberapa jiran cuba membantunya namun disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan per­ubatan yang tiba tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap di sini hari ini.
Sementara itu, anak sulung mang­sa, Siti Nur Fatihah, 14, berkata, dia amat terkejut apabila dimaklumkan oleh jiran yang bapanya telah meninggal dunia.


Jelasnya, selepas ibunya Nor Zabedah Yusof, 40, meninggalkan mereka tiga beradik dua tahun lalu, dia dan dua adiknya, Siti Nur Da­yang Fakirah, 8, dan Muhammad Hakim Daniel, 4, tinggal bersama bapa mereka di flat itu.
“Saya amat sedih dengan kehilangan ayah kerana dia pergi secara tiba-tiba menyebabkan kami tiga beradik hilang tempat bergantung.


“Saya akan meng­ambil alih tugas menjaga adik kerana itulah pesanan ayah setiap hari agar saya menjadi kakak yang baik kepada adik-adik,” ujarnya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah manakala adiknya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap.


Ditanya siapa yang akan menjaga mereka, Fatihah berkata, buat sementara waktu, mereka akan tinggal bersama datuk di Kampung Sungai Setar Besar dekat Sungai Acheh dan berhasrat tinggal dan menyambung persekolahan di kampung halaman bapa mereka di Sabah tahun hadapan.


Dalam pada itu, adik ipar mangsa, Mohd. Khairul, 32, memberitahu, jenazah Hasan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Bakap selepas dipersetujui oleh ahli keluarga­nya di Sabah.


Mereka yang i­ngin menghulurkan bantuan kepada tiga beradik itu boleh meng­hubungi Fatihah menerusi 011-24105502 atau akaun Bank Simpanan Nasional di nombor 0712729000145391.