Pasti ramai tertanya-tanya apa yang admin tulis ini adalah rekaan atau benar kerana makanan yang anda bakal kenal ini memang pelik dan kasar namanya.
Lauk Haram Jadah memang wujud dan merupakan makan utama bagi komuniti minoriti Chetti di Melaka yang berada di Kampung Budaya Chetti di Jalan Gajah Berang, Melaka.
Komunit Chetti telah wujud sejak ratusan tahun yang lalu yang merupakan India peranakan yang telah berkahwin dengan kaum Melayu, Cina dan beberapa bangsa lain.
Mereka menganut agama Hindu dengan mengamalkan cara kehidupan sama seperti orang Melayu seperti cara pemakaian dan pertuturan menggunakan bahasa Melayu.
Dari segi pemakaian mereka mengenakan baju kebaya, baju cekak musang bagi permpuan dan kain pelekat bagi kaum lelaki. Namu dikatakn generasi baru sudah mula memakai sari dan jippa.
Dari segi senibina rumah kediaman pula, rumah komuniti Chetti tidak mempunyai sebarang perbezaan dengan senibina orang Melayu.
Yang menjadi topik utama dalam artikel ini ialah makanan tradisi komuniti Chetti. Komuniti Chetti ini mempunya beberapa menu makanan tradisional iaitu Nasi Kebuli, Pulut Takan, Masak Pindang, Steamed Masak Lemak, Sambal udang dan sudah pasti menu yang admin cari Lauk Haram Jadah.
Pelikkan nama makanan ini? makanan Lauk Haram Jadah ini seperti Kari yang dicampur Kacang Panjang, Terung, Lobak Putih, Peria, Cili Kering, Bawang Merah, bawang Putih, Halia, Buah keras, Kunyit, Santan Cair, Santan Pekat, Asam Jawa dan penambah perisa lain.
Bagaimana nama makanan ini memperoleh nama pelik ini?
Menurut cerita seorang komuniti Chetti, Encik S. Rajahtan, ratusan tahun dahulu datuk nenek kami tidak mempunyai resipi khusus untuk memasak hidangan ini dan menggunakan apa jua bahan-bahan yang mudah didapati.
“Jadi, apabila ditanya, lauk haram jadah apa yang kau masak ni?, mereka pun tidak tahu nak jawab apa.
“Lalu, apabila mahu makan lauk yang sama, mereka kata masak lauk haram jadah yang dibuat hari itulah dan lama-kelamaan nama tersebut kekal sehingga sekarang,” kata lelaki berusia 60 tahun itu sambil ketawa kecil.
Menurutnya, mengikut resipi turun-temurun, lauk ‘haram jadah’ juga tidak menggunakan sebarang jenis daging sebaliknya digantikan dengan sayur-sayuran sebagai bahan utama.
“Sayur-sayuran ini perlu dicelur dalam air panas terlebih dulu supaya tidak mengambil masa yang lama untuk dimasak.
“Selain murah dan lebih mudah didapati, sayur-sayuran juga ternyata lebih berkhasiat,” katanya yang mempelajari masakan itu daripada arwah ibunya, Tevani Raja.
Berbeza dengan masakan kari dan dalca yang terkenal dalam kalangan masyarakat India, lauk itu tidak menggunakan daun atau rempah kari serta kacang dal sebagai bahan asas.
“Ia hanya menggunakan santan kelapa dan air asam jawa untuk menghasilkan kuah yang pekat dan berperisa.
“Bagi bahan tumis pula, kita guna udang kering, ikan bilis, bawang merah, bawang putih, cili, lengkuas, buah keras dan belacan melaka,” katanya.
Menu tradisi berkenaan masih dipelihara hingga sekarang dan biasa dihidangkan ketika kenduri, musim perayaan dan hari kebesaran masyarakat India seperti Pesta Ponggal serta Deepavali.
Fokus khas mengenai Chetti Melaka dalam majalah Dewan Budaya, Mac 2015.
Katanya lagi, masyarakat India Peranakan itu tidak mengambil daging lembu atas faktor agama Hindu dan budaya Melayu yang dipraktikkan sejak zaman-berzaman lagi dengan menjadi ikutan sehingga sekarang.
0 Komentar untuk "Lauk 'Haram Jadah' Juadah Istimewa Komuniti Chetti Di Melaka"